Seremban: Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila bapa kepada seorang murid perempuan tahun satu Sekolah Global Matrix (MGS), Bandar Sri Sendayan, dekat sini, menangis teresak-esak melihat jasad anaknya yang maut dalam kemalangan di Jalan Sendayan-Seremban, berhampiran Taman Mantau Indah, di sini, semalam.
Mangsa, K Thivashini, 7, maut akibat tersepit di tempat duduk hadapan van sekolah yang dinaiki bersama tujuh rakan lain selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton.
Bapanya R Kubanderan, 40-an, hanya mampu menangis sebaik membuka kain putih menutupi mayat anaknya sebelum ditenangkan pasukan bomba yang terbabit operasi menyelamat.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, van berkenaan dalam perjalanan dari Sendayan ke Seremban selepas mengambil kanak-kanak di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhammad Zaki Harun berkata, setibanya di lokasi kejadian, pacuan empat roda dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun dari arah bertentangan hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali.
Menurutnya, kenderaan itu melanggar tiang elektrik sebelum merempuh van sekolah dipandu lelaki berusia 33 tahun.
“Akibat rempuhan itu, Thivashini maut di lokasi kejadian manakala pemandu van patah kedua-dua kaki.
“Tujuh lagi murid berusia antara 4 dan 16 tahun cedera ringan dan mereka dikeluarkan orang awam yang melalui lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, pemandu pacuan empat roda Brandon Lim Lok Wei turut parah manakala dua penumpangnya berusia 19 dan 28 tahun cedera ringan.
“Sepuluh mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, manakala dua lagi murid dibawa ke Hospital Columbia dan Hospital Pakar Seremban (KPJ),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MGS Datuk Lee Tian Hock yang ditemui di HTJ berkata, pihaknya bersedih dengan kejadian itu dan menerima maklumat mengenai kemalangan itu jam 4.05 petang.
Beliau berkata, van sekolah dinaiki murid disewa ibu bapa dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di sekitar daerah ini sebaik tamat waktu persekolahan.
“Pihak kami akan membantu menguruskan mangsa kemalangan itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:19 AM
Post a Comment