Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada organisasi tidak adil - Tunku Ismail

Posted by MxDotMy | Media Terkini

KUALA LUMPUR: Tidak mahu menjadi sebahagian daripada sebuah organisasi yang tidak adil.
Itu antara sebab Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Penasihat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.
Tunku Ismail membuat pengumuman itu menerusi laman Facebook rasmi Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan ramai pemerhati beranggapan peletakan jawatan itu berkait dengan tindakan FAM yang tidak meluluskan permohonan PBNJ untuk meminda tarikh perlawanan Liga Super JDT menentang Selangor, esok.
FAM begitupun meluluskan permohonan Pahang yang turut memohon meminda perlawanan dengan kedua-dua pasukan terbabit dalam saingan Piala AFC.
"Saya ingin bekerjasama dengan sebuah organisasi yang telus, bersih, jujur dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.
"Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada sebuah organisasi yang tidak adil. Maka dengan ini, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan saya sebagai penasihat FAM," katanya dalam laman Facebook itu.
Dalam kenyataan itu juga, Tunku Ismail turut meluahkan impiannya untuk melihat badan induk itu dikendalikan oleh golongan yang berdedikasi, profesional dan berpengetahuan tentang bola sepak.
"Saya mempunyai satu impian. Satu impian dan idea yang menjadi pegangan saya, dan ia satu impian dan idea yang saya sanggup berkorban untuk mencapainya.
"Satu impian di mana suatu hari nanti badan pentadbir bola sepak Malaysia akan dikendalikan oleh golongan yang berdedikasi, profesional dan berpengetahuan tentang bola sepak, dan bukannya ditadbir oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi serta mengejar modal politik."
Berbanding jadual perlawanan asal yang dijadualkan esok, JDT memohon FAM untuk mempercepatkan perlawanan kepada hari ini selain perlawanan menentang Sarawak yang dijadualkan pada 7 Mac dipinda kepada 6 Mac.
Bagi kes Pahang, FAM meluluskan permintaan Pahang untuk menganjak perlawanan Piala FA menentang JDT yang awalnya dijadualkan pada 1 Mac kepada 2 Mac atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan.

Related Post



Post a Comment