KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan
Datuk Ahmad Maslan menafikan laporan yang mendakwa beliau menerima
arahan supaya tidak bercakap mengenai cukai barangan dan perkhidmatan
(GST) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin.
Beliau menafikan laporan berita
AstroAwani hari ini yang memetik sumber mengatakan Ahmad diberi amaran
supaya tidak bercakap soal GST.
Laporan itu juga menyebut, amaran diberi kerana pihak pembangkang sering memanipulasikan isu pelaksanaan GST.
Sehubungan itu, mengulas perkara
tersebut, Ahmad berkata, pihak pembangkang sering memainkan isu GST
adalah kerana mereka takutkannya.
“Tidak ada seorang pucuk pimpinan yang memaklumkan saya tentang itu.
“Memang tiada terima sebarang amaran dari pucuk pimpinan Umno.
“(Pembangkang mainkan isu GST) kerana
mereka takut pada saya,” kata Ahmad sambil ketawa semasa mengadakan
sidang media di Pusat Media PRK Permatang Pauh hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai
kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan ahli akademik
Datuk Dr Agus Yusof yang mengkritik ahli parlimen Pontian itu, Ahmad
meminta supaya mereka belajar lebih lanjut mengenai GST sebelum
memanggilnya “bodoh”.
Katanya, selain dua tokoh akademik itu,
Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu diberitahu tentang perkara sebenar
mengenai cukai GST.
“Saya berharap agar penasihat-penasihat
Mahathir dan juga pelapor-pelapor kepada Tun Mahathir tolong ceritakan
tentang GST yang sebenar kepada beliau.
“Kalau Tun Dr Mahathir, Dr Asri (kanan)
dan Dr Agus tahu tentang GST ini menurunkan cukai rakyat, saya kira
mereka setuju dengan GST.
“Oleh kerana itu saya ingin mengesyorkan
Dr Agus dan Dr Asri belajar lebih lanjut tentang GST sebelum nak kata
saya bodoh dan sebagainya.
“Saya juga syorkan Tun Mahathir diceritakan yang benar jangan tidak benar, kesian orang tua tu,” kata Ahmad lagi.
Sabtu lalu, Ahmad menyifatkan bekas pemimpin negara itu masih belum memahami sepenuhnya tentang GST.
Ia mengundang rasa kurang senang Mohd Asri dan Agus apabila masing-masing mengkritik kenyataan Ahmad itu di Facebook mereka.
Perkara itu berbangkit apabila bekas
perdana menteri menggesa supaya dibatalkan GST dan mengatakan pegawai
yang mengedalikan perkara tersebut tidak faham tentang pelaksanaan cukai
itu.
Post a Comment